TAJUK

Wednesday 15 May 2013

PEMILIHAN BAHAN BACAAN



PENGENALAN
Kebanyakan masyarakat zaman serba moden ini hanya mementingkan bahan bacaan yang bersifat keseronokan dan tidak membosankan apabila membuat pemilihan. Hal ini sedikit sebanyak adalah disebabkan oleh fahaman Hedonisme yang digagaskan oleh Epicurus di mana falsafah hidup bertujuan untuk mencapai suatu keseronokan. Oleh itu, guru-guru mestilah mengambil berat dan bijak tentang pemilihan bahan bacaan pelajar. Terdapat pelbagai jenis bahan bacaan dalam pendidikan Literasi. Sebagai contoh, bahan teknologi, buku teks dan juga bahan kesusasteraan.

PEMILIHAN BAHAN TEKNOLOGI DALAM PENDIDIKAN LITERASI



Teknologi telah memberi kesan yang sangat besar terhadap masyarakat zaman moden ini terutamanya guru. Guru literasi haruslah mempunyai pengetahuan yang jelas tentang pemilihan bahan teknologi yang dapat digunakan secara berkesan dalam sesi pengajaran dalam bilik darjah. Guru juga perlu tahu bagaimana untuk menilai bahan teknologi terutamanya berkaitan perisian yang dapat digunakan untuk membantu pencapaian objektif pembelajaran yang diharapkan. Guru seharusnya membuat pertimbangan apabila bahan teknologi digunakan. Terdapat beberapa pertimbangan yang perlu dititikberatkan oleh guru. Contohnya:
i.                    Tentukan objektif pembelajaran
ii.                 Tahap pencapaian pelajar
iii.               Tentukan isi kandungan dan Domain kemahiran.
iv.                Tentukan aspek teknikal
v.                  Tentukan cirri fizkal sesuatu bahan teknologi

PEMILIHAN BAHAN DALAM BUKU TEKS LITERASI BAHASA MELAYU



Bahan yang digunakan dalam buku teks perlu dipilih bagi membantu pelajar menguasai kemahiran berbahasa untuk berinteraksi dengan orang lain, mengakses maklumat dan membuat apresiasi terhadap bahan kesusasteraan. Bahan yang dikemukakan dalam bahagian membaca perlu dipilih bagi meningkatkan kemahiran pelajar memperoleh dan memahami maklumat yang disediakan. Latihan seperti melawat laman web, melalui akhbar, majalah dan merujuk kamus adalah contoh bagaimanakah seseorang pelajar memperolehi maklumat pelbagai sumber.

PEMILIHAN BAHAN KESUSASTERAAN DALAM PENGAJARAN LITERASI BAHASA MELAYU
Bahan kesusasteraan yang dipilih haruslah sesuai dengan perkembangan usia pelajar dan sesuai dengan latar belakang pelajar serta dapat menarik minat pelajar. Bahan yang dikatakan menarik minat pelajar mestilah berdasarkan persembahan ilustrasi dan kandungan cerita yang menarik terutamanya bahan yang  ilustrasi luarannya menarik. Hal ini boleh menimbulkan perasaan ingin tahu seorang pelajar untuk mengetahui kandungan dalam sesebuah buku.

KEPENTINGAN PEMILIHAN BAHAN BACAAN
Kepentingan pemilihan sesuatu bahan bacaan dijelaskan Khairusy  Syakirin (2007) dalam penulisannya. Beliau menyatakan bahawa bukan semua bahan bacaan boleh menjadikan sesebuah bangsa itu maju. Oleh yang demikian sesuatu bahan bacaan perlu dipilih terlebih dahulu sebelum dibeli atau dibaca. Ini kerana, membaca bahan bacaan yang sesuai dan bermutu adalah penting bagi perkembangan kanak-kanak. Berdasarkan penjelasan tersebut, dapat disimpulkan bahawa pemilihan bahan bacaan yang tepat amat penting bagi membentuk peribadi dan jati diri seseorang individu.
Ramai orang yang berkesedaran mengeluh dengan sikap sebilangan besar masyarakat yang ghairah menelaah bahan bacaan yang bersifat mementingkan keseronokan semata-mata. Dalam hal ini, saya mengambil pendirian yang berbeza daripada keluhan-keluhan klise yang bertumpu kepada meletakkan kesalahan fenomena tersebut ke atas diri masyarakat yang tidak pandai untuk memilih bahan bacaan. Dalam hal ini, saya rasa tidak wajar meletakkan sepenuhnya kesalahan kepada diri masyarakat tersebut kerana saya fikir fenomena yang berlaku ini sebenarnya merupakan kesan daripada bahan bacaan ini yang semakin membarah atau boleh disebut sebagai post-modernisme.

Menentukan Tahap Kesukaran
Pembaca perlu menentukan tahap kesukaran bahan yang hendak dibaca. Jika pembaca memilih bahan bacaan yang mempunyai tahap kesukaran yang tinggi akan menyebabkan pembaca kurang mendapat pemahaman dari bahan bacaan tersebut. Pembaca juga perlu pastikan bahan bacaan itu hanya mempunyai sedikit kesukaran. Jika terlalu banyak pembaca tidak faham terhadap sesuatu terutamanya istilah dan perlu merujuk kamus akan menyebabkan pembaca letih, keliru dan putus asa untuk meneruskan proses membaca. Hal ini kerana pembaca perlu mengumpulkan semua makna istilah atau kata-kata yang baru diterima untuk difahami dan ia memerlukan masa yang panjang bagi sesetengah pembaca. 
Oleh itu, pembaca perlu memulai proses membaca dengan memilih bahan bacaan yang mudah difahami. Apabila sudah berasa selesa barulah beralih kepada tahap kesukaran yang sedikit tinggi. Semua bidang memang disediakan bahan bacaan untuk semua peringkat, dari yang tidak tahu langsung sehinggalah ke peringkat yang memboleh pembaca mengkritik bahan bacaan tersebut. Jadi, pembaca hanya perlu mencari bahan bacaan yang mudah. Bagi sesetengah pembaca, mereka lebih tertarik dan menyukai jika bahan bacaan tersebut turut disertakan dengan gambar, jadual, pelan dan sebagainya. Tiada alasan bagi pembaca untuk mengelakkan diri dari membaca kerana sekarang ini teknologi teknologi semakin canggih dan kemudahan untuk membaca senang diperoleh.






No comments:

Post a Comment