TAJUK

Wednesday 15 May 2013

MASALAH DALAM MEMBACA



PENGENALAN
Masalah membaca dalam kalangan murid sekolah bukanlah perkara luar biasa lagi walaupun mereka telah mengikuti pembelajaran bacaan terutamanya dalam pelajaran mata pelajaran Bahasa Melayu. Adalah menjadi tugas guru mengesan kelemahan membaca murid dan seterusnya menjalankan pengajaran pemulihan bacaan dengan segera. Berbagai-bagai kaedah dan teknik mengajar bacaan boleh digunakan oleh guru untuk mengajar bacaan. Kaedah dan teknik mengajar bacaan yang digunakan oleh guru hendaklah sesuai dengan kebolehan membaca murid.

          Kemahiran membaca merupakan asas untuk memahami proses pembelajaran yang lebih kompleks. Proses membaca memerlukan urutan atau rentetan yang berulang-ulang bagi memastikan para pelajar dapat memahami apa yang sedang mereka bacakan serta menguasai proses bacaan tersebut. Kebiasaannya masalah dalam proses membaca ini banyak dihadapi oleh pelajar di peringkat sekolah rendah. Namun demikian, terdapat juga segelintir pelajar di sekolah menengah tidak pandai membaca. Hal ini amat membimbangkan kerana jika mereka tamat persekolahan tanpa menguasai kemahiran membaca dikhuatiri mereka menghadapi kesukaran dalam persaingan hidup dan untuk mendapatkan pekerjaan.


Faktor Individu
Bagi menentukan masalah dalaman pelajar yang sukar untuk membaca, kemahiran kognitif para pelajar juga perlu untuk diambil kira. Hal ini adalah kerana, setiap pelajar mempunyai kemahiran kognitif yang berbeza-beza walaupun umur mereka sebaya. Oleh sebab itu, kegagalan proses pembelajaran untuk mengajar mereka cara membaca juga mempunyai hubung-kait dengan kemahiran kognitif setiap pelajar tersebut. Cara pembelajaran antara seorang kanak-kanak dengan seorang remaja juga berbeza. Pemikiran seorang remaja telah kompleks dan mampu untuk menerima banyak ilmu dalam satu-satu masa berbeza dengan cara pemikiran seorang kanak-kanak yang lebih terhad dan hanya mampu untuk memahami apa yang dilihat oleh mata kasar mereka sahaja (Suppiah Nachaiappan, Kamarulzaman Kamaruddin, 2009).
Namun demikian, masalah ketidakbolehan untuk membaca ini timbul apabila seorang pelajar itu tidak dapat untuk memahami apa yang telah diajarkan kepada mereka semenjak mereka kanak-kanak lagi sehingga meningkat dewasa dan menyebabkan masalah keciciran dalam pembacaan. Masalah ini berpunca daripada kemahiran kognitif pelajar tersebut yang lemah. Bagi mengatasi masalah ini, guru perlu memberi perhatian yang lebih kepada para pelajar yang lemah bagi mengelakkan mereka keciciran dalam pembelajaran mereka.



Ketidakbolehan untuk Mentafsir Simbol dan Huruf
Masalah dalam membaca juga berlaku akibat ketidakbolehan untuk mentafsir simbol dan huruf untuk diterjemahkan dalam ayat atau perkataan secara lisan. Menurut Abdul Rasid dan Zulkafli (2008), masalah menguasai kemahiran membaca dan menulis menjadikan murid lemah dan tidak berminat dalam proses pembelajaran adalah akibat ketidakcekapan mereka menguasainya isi pembelajaran yang telah diajar oleh guru. Permasalahan membaca yang ada dalam diri murid adalah seperti keliru mengecam huruf besar dan huruf kecil semasa membaca, tidak dapat membunyikan perkataan dengan betul dan tepat, tidak dapat menyebut perkataan yang dieja serta sering meninggalkan perkataan yang tidak ketahui makna atau gagal membunyikannya. Masalah ketidakbolehan mentafsir simbol atau huruf untuk diterjemahkan akan menimbulkan pola bacaan yang merangkak-rangkak dan pastinya menjadikan murid-murid tidak memahami maklumat dan makna bahan bacaan tersebut. Selain daripada itu, murid ini juga lemah dan tidak berminat mencari maklumat yang terdapat dalam gamba rajah atau bahan rangsangan yang diberikan oleh guru. Menurut Yahya Othman (2004), membaca merupakan proses interaksi antara teks dengan imaginasi pembaca. Oleh sebab itu, pemahaman para pelajar mengenai teks dan gamba rajah yang dilihat oleh mereka mampu untuk menarik minat mereka membaca tetapi jika mereka tidak dapat memahami apa yang dibaca oleh mereka akan menimbulkan rasa bosan mereka untuk terus membaca.




Faktor Psikologi
Tahap kecerdasan dan psikologi yang pelbagai dalam kalangan murid disebabkan oleh faktor genetik, kecacatan fizikal murid, persekitaran dan sebagainya yang berkecenderungan menimbulkan permasalahan untuk mempelajari dan mengingati sesuatu yang diajar oleh guru. Selain daripada itu, tahap kesihatan serta gangguan emosi sering menjadi punca masalah dalam proses pembelajaran. Murid yang mewarisi tahap kecerdasan yang rendah sering memperlihatkan gangguan emosi seperti bimbang, takut, marah dan berbagai-bagai perasaan lagi yang pastinya menjejaskan tumpuan dan perhatian terhadap proses pembacaan (Zulkifley Hamid, 2006).
Minat dan motivasi sangat berperanan dalam membina tabiat dan keupayaan membaca. Minat yang mendalam terhadap bahan bacaan memudahkan seseorang itu mengalami dan memahami proses pembacaannya. Faktor tidak minat membaca merupakan salah satu faktor yang menyumbang kepada wujudnya masalah membaca dalam kalangan pelajar. Sikap kurang minat membaca pada dirinya adalah berpunca daripada kegagalannya untuk menguasai kemahiran membaca dengan baik. Selain itu, masalah kurang rangsangan daripada luar juga menyebabkan para pelajar bermasalah dalam proses membaca. Hal ini adalah kerana, kekurangan perhatian daripada guru akan menyebabkan pelajar tersebut akan keciciran dalam proses pembacaan.




Mudah Hilang Tumpuan dan Lemah Daya Ingatan


Masalah dalaman yang dihadapi oleh pelajar dalam proses pembacaan juga berkait dengan masalah mudah hilang tumpuan dan lemah daya ingatan. Hal ini adalah kerana proses pembacaan memerlukan para pelajar untuk mengingat huruf dan bunyi bagi setiap huruf-huruf tersebut. Jika mereka bermasalah untuk mengingati setiap huruf tersebut maka proses pembacaan akan menghadapi masalah seperti membaca merangkak-rangkak dan tersangkut-sangkut. Bagi mengatasi masalah pelajar yang lemah dalam proses pembacaan ini, satu proses pemulihan telah dijalankan. Para pelajar yang lemah dalam bacaan mereka akan diasingkan dengan pelajar yang lebih cepat dalam membaca.
Menurut Rajesvari a/p Ramasamy (2008), permasalahan yang dihadapi oleh pelajar pemulihan ini ialah mudah lupa perkataan yang dibaca. Daya ingatan mereka sangat singkat dan cepat melupakan perkara yang telah dipelajari oleh mereka. Oleh sebab itu, mereka perlu diberi peluang membaca perkataan yang sama berulang kali dalam aktiviti latih tubi. Ramai kanak-kanak pemulihan juga mengalami masalah dalam pengamatan. Mereka kurang mahir mengecam bentuk perkataan yang dibaca. Masalah ini mungkin disebabkan mereka sukar memberi tumpuan atau perhatian.





Bibliografi
Abdul Rasid Jamian. (2011). Permasalahan kemahiran membaca dan menulis Bahasa Melayu murid-murid sekolah rendah luar Bandar. Selangor: Universiti Putra Malaysia.
Rajesvari a/p Ramasamy (2008). Masalah disleksia dalam kalangan murid-murid pemulihan di sekolah rendah, Pulau Pinang. Pulau Pinang: Universiti Sains Malaysia.
Suppiah Nachaiappan, Kamarulzaman Kamaruddin, et al. (2009). Pembelajaran dan perkembangan pelajar. Selangor: Oxford Fajar.
Taman Timbang, Zamri Mahamod, Afendi Hamat (2011). Faktor dan kesan masalah membaca dalam kalangan murid sekolah rendah kerajaan di Brunei Darussalam. Selangor: Universiti Kebangsaan Malaysia.
Yahya Othman. (2003). Mengajar membaca: Teori dan aplikasi. Bentong, Pahang: PTS Publications Sdn. Bhd.
Yahya Othman. (2004). Mengajar membaca: Teori dan aplikasi. Bentong: PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Zulkifley Hamid. (2006). Aplikasi psikolingusitik dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa. Bentong: PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd.



Doa Elak Lupa

Doa apabila terlupa




No comments:

Post a Comment