TAJUK

Wednesday 15 May 2013

PENDEKATAN DALAM MENGAJAR MEMBACA




1.     Kaedah Abjad/huruf
Kaedah ini merupakan kaedah yang paling biasa digunakan dalam mengajar dan membaca perkataan. kaedah ini mementingkan kanak-kanak mengenal nama-nama huruf dari A-Z. Selepas itu, mereka diajar mengenali huruf-huruf vokal a, e, i, o, u. Huruf-huruf konsonan dan diftong ai, au, oi. Selain itu, bunyi-bunyi huruf juga diperkenalkan pada peringkat ini. Huruf-huruf ini digabungkan bagi membentuk suku kata dan seterusnya perkataan.

Contoh:
- memperkenalkan huruf A-Z
- memperkenalkan huruf  vokal a, e, i, o, u
- Membentuk perkataan daripada suku kata. ba + tu = batu
- seterusnya membentuk rangkai kata dan ayat mudah






Berikut adalah beberapa permainan untuk membantu murid belajar abjad: 






        



2.  Kaedah Pandang dan sebut/Kaedah Seluruh Perkataan

Kaedah ini sangat popular dalam mengajar bacaan dalam bahasa Inggeris, namun guru boleh mencuba kaedah ini untuk mengajar membaca dalam Bahasa Melayu. Melalui kaedah ini, pengajaran membaca adalah berdasarkan perkataan-perkataan yang biasa (sight words) diguna seharian yang membentuk kebanyakan pertuturan kita seperti saya, makan, lari, main, emak, bapa dan sebagainya.
  Guru akan memperkenalkan beberapa perkataan dahulu dan diulang-ulang menyebutnya. Kebiasaannya perkataan tersebut disertakan gambar dan adalah diandaikan yang murid belajar secara pandang (visual). Kaedah ini tidak menggunakan aktiviti mengeja sama sekali.
   Sekiranya murid tidak dapat menyebut perkataan tertentu, guru digalakkan menggunakan fonik atau bunyi huruf, iaitu menghubungkan satu huruf dengan satu bunyi untuk membantu pelajar menyebut perkataan tersebut. Misalnya bagi perkataan ”rumah”, guru boleh membantu murid dengan menyebut bunyi huruf ”r” iaitu [ r ] dan kalau perlu membunyikan suku kata [ ru ]



3.  Kaedah Fonik/bunyi

Kaedah fonik adalah antara kaedah mengajar bacaan yang digemari oleh guru. Kaedah ini menekankan kepada hubungan bunyi-bunyi dengan huruf-hurufnya. Kaedah bunyi sesuai digunakan kerana susuk Bahasa Melayu yang terdiri daripada suku kata yang tetap bunyinya.

Menurut kaedah fonik, hanya bunyi huruf yang diperkenalkan terlebih dahulu dan diikuti dengan membunyikan suku kata dan seterusnya membunyikan perkataan. Dalam bidang fonetik, huruf tidak dieja tetapi terus dibunyikan sebagai [ a ], dan begitulah bagi huruf-huruf dan suku kata yang lain. Sebagai contoh, ba + ta terus disebut sebagai [ ba ] + [ ta ] dan seterusnya disebut sebagai [ bata ].

[ b ] + [ a ] = [ ba ]
[ t ] + [ a ] = [ ta ]
[ ba ] + [ta ] = [ bata ]


4.  Kaedah gabungan bunyi – kata
(Dari nama huruf dan bunyi kepada perkataan)

Kaedah ini diperkenalkan oleh Profesor Isahak Haron, dan dalam kaedah ini murid diajar langkah demi langkah, dimulai dengan bunyi huruf digabungkan dengan nama huruf (abjad) dan bentuk huruf. Selepas itu membina suku kata dan seterusnya perkataan. Latih tubi mengeja adalah perlu berdasarkan pendekatan pelbagai deria (multisensory).

Contoh;

i. Guru tunjukkan huruf pada kad imbasan dengan gambar di sebelah belakang. Murid menyebut nama huruf tersebut.
ii. Guru menyebut perkataan dan bunyi huruf.
iii. Murid mengulangi menyebut perkataan dan bunyi huruf.
iv. Guru menyebut bunyi huruf dan kemudian menyebut nama huruf.
v. Murid mengulang bunyi dan menyebut nama huruf, menulis huruf sambil menyebutnya (terjemahkan bunyi yang didengar kepada tulisan) dan seterusnya murid menulis huruf-huruf.
vi. Murid membaca apa yang telah ditulisnya, iaitu membunyikan huruf
(terjemahkan huruf yang ditulis kepada bunyi yang boleh didengar).
vii. Murid menulis huruf dengan mata tertutup untuk dapat merasakan huruf itu


Setelah murid sudah biasa dengan nama, bunyi, dan bentuk huruf, guru boleh teruskan dengan latih/tubi berikut;
i. Murid melihat semula kad imbasan dan membunyikan huruf dengan kuat (proses bacaan).
ii. Guru membunyikan huruf-huruf tertentu secara rawak. Murid menyebut nama huruf dan kemudiannya menulis (proses mengeja).

Hubungan antara nama , bunyi, dan bentuk huruf hendaklah diajar terlebih dahulu dengan pengetahuan bahawa sesetengah huruf adalah vokal dan sangat diperlukan dalam setiap perkataan. Kemudian diajar huruf dan bunyi vokal pula.


 KESIMPULAN

Keupayaan membaca di kalangan kanak-kanak adalah berbeza-beza dan guru hendaklah memberi perhatian terhadap hakikat ini. Oleh itu guru hendaklah memperkemaskan diri dalam kemahiran menyampaikan pengajaran bacaan. Pengetahuan tentang kaedah-kaedah mengajar bacaan semata-mata tidak mencukupi, sebaliknya guru perlu mempunyai kreativiti dalam penyampaian pengajarannya. Kaedah membaca yang digunakan akan lebih berkesan dengan penggunaan bahan bantu mengajar yang sesuai dan menarik. Bagi kanak-kanak yang mengalami masalah bacaan yang teruk dan juga untuk kanak-kanak berkeperluan khas, kaedah pengajaran pelbagai deria sangat sesuai digunakan. Sekiranya guru memilih untuk menggunakan sesuatu kaedah, maka guru hendaklah tetap dengan langkah-langkah yang disarankan dalam kaedah itu. Sekiranya guru tidak mengikut langkah-langkah yang telah ditetapkan atau mengikut sebahagian daripada langkah sahaja, maka guru tidak boleh mengatakan yang dia menggunakan kaedah tersebut.


Maklumat lanjut layari:
http://cikguhijau.blogspot.com/2012/03/kaedah-mengajar-bacaan.html



No comments:

Post a Comment